Wednesday, October 26, 2011

Guru, pelajar agama raih pahala kebajikan

  1. ILMU tidak datang sendiri, justeru ia mesti dipelajari dan dituntut daripada sumbernya yang sebenar. Sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: "Mengapa tidak pergi daripada tiap golongan di antara mereka beberapa orang mendalami ilmu pengetahuan mereka tentang agama..." (Surah At-Taubah ayat 122).
  2. Manusia tidak semuanya mampu tumpu sepenuh masa untuk mendalami ilmu agama. Jika demikian, usaha mesti dilakukan oleh ahli masyarakat (jemaah) untuk menghantar dan membiayai beberapa orang, melanjutkan dan mendalami ilmu agama.
  3. Firman Allah SWT di atas itu secara jelas menghendaki supaya segolongan ahli masyarakat pergi mempelajari clan mendalami ilmu agama. Hingga mereka mencapai tahaf 'Ahlazzikri', untuk menjadi tempat rujukan dalam masyarakat. Sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertanyalah kepada 'Ahlazzikri' jika kamu tidak mengetahui." (Surah An Nahl ayat 43)
  4. 'Ahlazzikri' bererti orang yang ahli dalam ilmu wahyu (al-Quran), yang sentiasa ingat kepada Allah SWT. Justeru itu ahlazzikri menjadi tempat rujukan oleh anggota masyarakat, dalam menghuraikan sesuatu kemusykilan perkara agama. 
  5. Zikrullah
  6. Zikrullah bukan sekadar lidah mereka menyebut nama Allah SWT, tetapi ingat segala peraturan dan hukum hakam yang bersangkutan dengan agama-Nya.
  7. Seperti ingat pahala dan dosa, syurga dan neraka, rahmat dan ghadhab (murka)-Nya, nikmat dan azab-Nya, ingat para malaikat, para anbiya dan para rasul a.s.
  8. Orang yang sebenar-benar ingat kepada Allah SWT, ialah mereka yang sentiasa memelihara syariat serta hukum hakam halal dan haram, sah dan batal sesuatu amal ibadah berasaskan al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.
  9. Merekalah `Zakir liLlah' (orang yang sentiasa ingat Allah SWT), meskipun ketika lidahnya tidak menyebut sebarang lafaz Jalallah.
  10. Seseorang yang sentiasa ingat hukum halal haram dan lain-lain lagi, menjadi bukti bahawa dihati mereka sentiasa tersemat ingatan terhadap Allah SWT (al-Quran). Kedua-dua ayat di atas jadi dalil dan hujah kepada manusia supaya mempelajari ilmu al¬Quran.
  11. Selepas dalil berdasarkan firman Allah SWT, diikuti pula dengan hadis (sunnah) Rasulullah s.a.w. Kerana Nabi s.a.w. adalah manusia pertama yang mampu dengan tepat mentafsirkan al-Quran.
  12. Justeru Nabi s.a.w. memperkatakan keutamaan menuntut ilmu pengetahuan, kerana baginda yang mengetahui betapa pentingnya ilmu wahyu itu, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Barang siapa menempuh satu jalan (dengan tujuan) untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah SWT akan melorongkan baginya jalan ke syurga."
  13. Kepada orang yang menempuh perjalanan menuntut ilmu pengetahuan, yang mendekatkan diri dengan Allah Azza wa Jalla, akan diberi balasan oleh Allah SWT dengan dipimpin menuju syurga.
  14. Jika seseorang pergi ke sesuatu destinasi, terpaksa bertanya dengan orang yang biasa pergi ke tempat tersebut. Apatah lagi perjalanan untuk ke syurga, pasti bertanya dengan orang yang tahu mengenainya.
  15. Allah SWT menghantar Rasulullah s.a.w. untuk mengajar manusia, menunjuk peta bagaimana jalannya untuk menuju ke syurga.
  16. Satu cara untuk mendapat pimpinan bagi menuju ke syurga ialah seperti yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w.; ialah berusaha menempuh jalan menuntut ilmu pengetahuan, khususnya ilmu tentang bagaimana cara mendampingkan diri dengan Allah SWT.
  17. Jika Tuhan Yang Mencipta syurga, berjanji hendak memimpin seseorang dan menunjukkan jalan ke syurga, maka alangkah bertuahnya orang itu, iaitu orang yang sentiasa berusaha menuntut ilmu pengetahuan.
  18. Ilmu
  19. Menuntut ilmu dengan cara bagaimana sekalipun, sama ada dengan cara menghadap tok guru dengan cara membaca kitab atau buku. Yang penting ikhtiar untuk mendapatkan ilmu mesti dilakukan, ibarat orang yang meneroka jalan menuju ke syurga.
  20. Bagi sesetengah orang amat sukar untuk mendapat ilmu, meskipun telah berusaha belajar dengan tekun. Namun janji Nabi s.a.w. ialah mengenai ikhtiar yang dilakukan oleh seseorang dalam usahanya untuk mendapat ilmu, maka usahanya itu tetap bernilai di sisi Allah SWT.
  21. Sabda Nabi s.a.w. lagi yang berkaitan dengan keutamaan menuntut ilmu, yang bermaksud: "Andai kata kamu berangkat untuk mempelajari satu bab daripada ilmu pengetahuan (yang membolehkan kamu mengenali Allah SWT), adalah lebih utama daripada kamu melakukan solat sunat 100 rakaat."
  22. Melakukan solat sunat l00 rakaat hingga tertinggal menutut ilmu pengetahuan, l00 rakaat itu tidak dapat mengatasi nilai menuntut ilmuwahyu, walau hanya satu bab daripada ilmu agama.
  23. Seratus rakaat solat sunat itu belum tentu diterima oleh Allah SWT sebagai amal yang baik, dua rakaat yang dilakukan setelah menguasai ilmu pengetahuan, sudah pasti lebih baik dari 1000 rakaat tanpa ilmu pengetahuan.
  24. Ini menunjukkan kelebihan menuntut ilmu pengetahuan, ibadat mesti berasaskan ilmu. ibadat tanpa ilmu tiada nilai di sisi Allah SWT.
  25. Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang Muslim."
  26. Abu Darda r.a. ketika mengulas hadis nabi S.A.W. itu berkata: "Orang alim (tok guru) dan orang yang menuntut ilmu pengetahuan itu adalah dua insan yang berkongsi dalam kebajikan. Kehidupan orang yang selain daripda kedua-duanya (tidak mengajar dan tidak belajar) adalah sia-sia belaka."
____________________________________________
Mauidzah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
FIKRAH • 19 - 22 ZULKAEDAH 1432 / 17 - 20 OKTOBER 2011

No comments: