Wednesday, February 8, 2012

Dengan solat, mengadu terus kepada Allah

  1. SAYIDINA Ali bin Abi Talib berkata: "Tidak akan selamat pekerjaan umat mutakhir, kecuali meneladani cara amalan umat terdahulu yang membawa kepada keselamatan."
  2. Satu dari caranya ialah meneliti dan mempelajari hal ehwal keselamatan umat terdahulu dari kalangan para sahabat, khususnya mengenai solat.
  3. Iaitu perkara zahir solat sejak dari urusan wuduk sebagai pembuka solat, juga rukun dan syarat sahnya.
  4. Lebih utama lagi ialah dari segi rohaninya, khusyuk dan tawaduk dalam solat. Pergerakan hati ketika solat sama ada lebih banyak ke arah perkara luar dari solat, atau tertumpu kepada bacaan solat serta pergerakan rukunnya.
  5. Adakah hati tertumpu sepenuhnya kepada maksud bacaan sejak takbiratul ihram, diikuti beberapa rukun tiga belas yang lain. Adakah semakin lama ibadat solat itu, semakin baik dan dimakbul Allah SWT?
  6. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Barang siapa yang mendirikan solat pada waktunya, dan mereka cermat dengan basuhan wuduknya, diikuti rukuk dan sujud yang sempurna serta khusyuknya diangkat ibadat solat itu ke langit dalam keadaan putih melepak, solat itu berkata; wahai orang ampunya solat, aku berdoa kepada Allah SWT, agar Allah menjagamu sebagai kamu menjagaku dengan sempurna dahulu.
  7. Sebaliknya sesiapa yang mengerjakan solat tidak menjaga waktunya, dan tidak cermat basuhan wuduknya serta rukuk dan sujudnya.
  8. Solat yang tidak sempurna itu akan dinaikkan ke langit dalam keadaan hitam legam, sambil berkata: "Aku berdoa agar Allah SWT akan abaikan kamu sebagaimana kamu mengabaikan aku dahulu."
  9. Solat yang hodoh itu digumpal oleh Allah SWT sebagaimana menggumpal kain buruk dan di lontarkan kembali ke muka orang yang ampunya solat hodoh itu."
  10. Sesungguhnya orang yang telah tunaikan solat, tidak boleh merasa puas hati dan menganggap kerja amalnya  sudah selesai. Sebenarnya masih ada perkara yang tertinggal dari pengetahuan orang berkenaan.
  11. Solat bermula dengan wuduk, Nabi s.a.w. memberitahu bahawa wuduk adalah kunci kepada ibadat solat. Wuduk yang sempurna dan cermat saja yang layak menjadi pembuka solat. Maksud Asbagha wudhu-aha' seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w., ialah selain basuhannya rata pada anggota wuduk, juga melebihkan sedikit basuhan dari had sempadan yang ditetapkan oleh syarak.
  12. Setelah itu ditunaikan solat dengan sebaiknya sebagaimana sabda Nabi s.a.w.: "Wa atamma rukuaha wa sujudaha wa khusyu'aha" iaitu sempurna ruku' dan sujudnya serta khusyuk solatnya.
  13. Rukuk yang sempurna mesti ada 'tumakninah' (waktu bertenang), iaitu memberi masa kepada anggota untuk tetap seketika sebelum berpindah ke rukun yang lain.
  14. Kadar bongkoknya seimbang, rata paras antara kepala dan punggung, sekira-kira diletak papan di atasnya tiada terjungkit tinggi atau rendah sama ada bahagian kepala atau punggungnya.
  15. Begitu juga cara meletak tangan ketika rukuk dengan tertib, iaitu kedua telapak tangan menggenggam lutut. Sementara jari jemari ke hadapan bersetentang dengan kiblat.
  16. Bacaan tasbihnya ketika rukuk "Subhana rabbial `Azim" dengan sebutan makhrajnya betul dan jelas, tidak secara sambil lewa.
  17. Bagaikan seorang bercakap secara berdepan dengan Allah SWT, lebih dari seorang rakyat menghadap raja dengan sembah kata menjunjung kasih.
  18. Selain sempurna rukuk dan sujudnya, diikuti pula dengan khusyuk. Yang dimaksudkan dengan khusyuk itu ialah hatinya tenang ketika solat, kerana sedang tertumpu ingatan kepada Allah SWT.
  19. Di antara tanda khusyuk ialah tubuh badannya turut tenang sejajar dengan ketenangan hati. Tidak melakukan sesuatu pergerakkan yang tiada kaitan dengan rukun solat.
  20. Kepada orang yang sempurna dan khusyuk solatnya, maka solatnya diangkat ke langit dalam keadaan cemerlang putih melepak.
  21. Ertinya ibadat solat itu diterima menghadap ke hadirat Allah SWT dalam situasi sempurna dan cemerlang.
  22. Lalu solat yang cemerlang itu berdoa kepada Allah SWT dengan katanya: "Semoga Allah SWT menjagamu, sebagaimana kamu telah menjagaku dengan cermat sempurna."
  23. Sebaliknya orang yang mendirikan solat tidak pada waktunya atau mengabaikan solat, tidak cermat wuduknya tidak sempurna ruku' dan sujudnya, malah tidak khusyuk solatnya akan diangkat juga ke langit, tetapi dengan keadaan hitam legam. Sesungguhnya hitam legam itu sebagai simbul penolakkan Allah SWT terhadap ibadat itu.
  24. Solat yang hitam legam itu berdoa pula kepada Allah SWT dengan doanya yang buruk: "Semoga Tuhan abaikan orang ini, sebagaimana dia telah mengabaikan aku dahulu."
  25. Setelah itu solat yang hitam legam itu digumpal seperti sekepal kain buruk, lalu dilontarkan ke muka orang yang abai terhadap solatnya.
  26. Dilontar ke muka orang yang ampunya amal, dalam erti kata telah ditolak solat tersebut oleh Allah SWT dalam keadaan murka.
  27. Masalahnya lontaran itu tidak disedari oleh orang yang melakukan solat tidak cermat itu, kerana yang dilontar itu bukan benda yang boleh dirasai oleh orang yang terkena lontaran itu.
  28. Tidak sedarnya itu menyebabkan mereka tidak akan insaf, malah merasa optimis kerana telah melakukan kewajipan ibadat fardu itu.
  29. Pada sangkaannya tanggung jawab dan kewajipan fardu telah selesai, hanya menanti hasilnya untuk dituai di akhirat kelak.
___________________________________
Mauidzah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Harakah 6 - 9 Februari 2012 / 13 - 16 Rabi'ulAwal 1433

No comments: