Monday, September 21, 2015

PANDUAN IBADAH QURBAN

Bismillah....
Mari kita bicara tentang ibadah korban seketika.....
PANDUAN IBADAH QURBAN
Maksud ibadah qurban
  1. Ibadah qurban bermaksud; menyembelih binatang ternakan pada hari raya qurban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
  2. Masa ibadah qurban bermula apabila terbit matahari pada hari raya qurban (10 zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari raya.
Hukum ibadah qurban
  1. Hukum ibadah qurban ialah sunat muakkad. Makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika dinazarkan.
  2. Bagi sebuah keluarga, ibadah qurban adalah sunat kifayah, iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah qurban bagi pihak ahli keluarga yang lain. Abu ‘Ayyub RA menceritakan; “Pada zaman Nabi SAW seorang lelaki menyembelih qurban bagi pihak dirinya dan juga ahli keluarganya” (Muwatta’ Imam Malik; 1770).
  3. Tidak sah melakukan qurban bg orang telah mati melainkan dia telah berwasiat, namun jika seseorang yg berkorban kemudian meniatkan pahala korban untuknya. seperti baca Quran dah hadiahkan pahalanya kpd simati.
Fadhilah ibadah qurban
  1. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya qurban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya” (Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).
  2. Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang korban satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).
Syarat-syarat binatang qurban
  1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri (berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).
  2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.
  3. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510, isnadnya soheh).
  4. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi elok, lagi sempurnalah pahalanya.
Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan korban
  1. Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).
  2. Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak mampu, sunat melihat binatang korbannya disembelih.
  3. Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti berikut;
· إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ · اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنّيْ وَأَهْلِيْ بَيْتِي
    “Ya Allah, terimalah korban ini dariku dan dari ahli keluargaku”.

Cara pengagihan daging qurban
  1. Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada fakir miskin, sunat dalam keadaan mentah.
  2. Daging korban harus jika hendak disedekah kesemuanya kepada fakir miskin. Namun sunat orang yang melakukan korban menikmati sedikit darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.
  3. Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak;
      (i) Untuk dimakan diri dan ahli keluarga,
      (ii) Disedekahkan kepada fakir miskin,
      (iii) Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka kaya/berada.
  4. Dilarang menjual apa-apa bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala korban. Termasuk dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-orang kerja dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah seperti masyarakat yg lain diharuskan. jk hendak beri sesuatu, spt baju dll, ambil dr kos, bukannya berikan upah melalui daging.
  5. Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban kepada orang kafir zimmi. Sebahagian ulamak melarangnya.
  6. Korban nazar dan korban wasiat untuk orang telah mati; wajib disedekahkan kesemua dagingnya kepada fakir miskin.
***وصلى الله على سيدنا محمد، والحمد لله رب العالمين***
Salam iduladha

No comments: