Sunday, July 24, 2011

Adab disaran ke atas pengunjung Baitullah untuk dilaksana

  1. SEBELUM seseorang memasuki kota Makkah disunatkan mandi semoga bukan saja tubuh badan bersih cuci dengan mandi itu tetapi rohani pun turut suci.
  2. Apabila masuk Masjidilharam serta terpandang Baitullah, ketika itu ucapkanlah kalimah: "Lailaha illallah wallahu Akbar." Kalimah itulah yang diucapkan oleh para nabi terutamanya Nabi Ibrahim a.s.
  3. Kerana kalimah tersebut yang bersifat tauhid: "Tiada tuhan yang menjadi pujaan kecuali Allah dan Allahlah yang Maha Agung." Kemudian disambung pula dengan doa masyhur: "Allahhumma Antas Salam waminkas Salam wa Daruka Darus Salam Tabarakta Ya Zal Jalali wal Ikram" yang bermaksud: "Wahai Tuhan, Kamulah yang Selamat, dariMu terbitnya keselamatan, negara (kampung halaman) Kamu yang Selamat, Maha Berkat dan Maha Besar Wahai Tuhan yang Memiliki Kemuliaan."
  4. Sebagai tanda seseorang itu bangga dan gembira menjadi tetamu Tuhan, lantas dia berdoa lagi ketika menatap Baitullah dengan doanya: "Allahumma haza Baituka, Azzamtahu wa Karramtahu, wa Syarraftahu.
  5. Allahumma fazzidhu Tasyrifan wa Takriman wa Zidhu mahabatan wa zid man hajjahu burran wa karomah" yang bermaksud: "Wahai Tuhan, bahawa Kaabah ini adalah rumah-Mu yang Kamu mengagungkannya, dan Kamu memuliakannya, dan menghomatkan dia. Wahai Tuhan, Engkau tambahkan kehormatannya dan kemuliaan. Dan kepada orang yang melakukan haji itu tambahlah kehebatan dan kebajikan serta kemuliaannya."
  6. Ditambah lagi dengan doa: "Allahumma aftahli abwaba rahmatika wa adhilnia Jannataka wa a'izni mainasy syaitonira rojim" yang bermaksud: "Wahai Tuhan, bukalah pintu rahmatMu dan masukkanlah daku dalam syurga-Mu Dan lindungi daripada gangguan syaitan yang kena rejam."
  7. Apabila memasuki Masjidilharam (atau mana-mana masjid pun), maka pohonlah rahmat-Nya kerana masjid itu ibarat gedung rahmat Allah SWT, berdoa dengan doa: "Allahumma sholli 'ala saiyidana Muhammad, Allahummaghfirli zambi wafthli abwaba rahmatika" yang bermaksud: "Ya Allah aku bersalawat terhadap Nabi Muhammad, ya Allah ampunilah dosaku dan bukakanlah sebanyak mana pintu rahmat-Mu."
  8. Rahmat Allah SWT atau kasihan belas yang mencurah dari langit dan tersimpan terutama digedung-Nya dalam masjid, dipohon agar dikurniakan-Nya sama ada rahmat iman atau kesihatan mahupun rezeki yang berkat dan sebagainya.
  9. Setelah selesai berdoa maka bersegeralah mengerjakan tawaf dengan tujuan tawaf "Qudum" tawaf selamat datang, sebagai tanda baru menjejakkan kaki di Masjidilharam, kecuali ketika memasuki Masjidilharam, didapati orang ramai sedang mengerjakan solat fardu berjemaah.
  10. Apabila hendak mengerjakan tawaf hendaklah ingat enam perkara; yang pertama hendaklah perhati syarat hendak menunaikan solat, dengan syarat itu juga digunakan untuk tawaf, iaitu suci diri daripada hadas (kecil atau besar) seterusnya suci daripada najis bagi diri pakaian dan tempat tawaf.
  11. Kedua, dan wajib menutup aurat, kerana tawaf di Baitullah hakikatnya ialah solat. Tetapi bezanya ialah Allah SWT mengharuskan bercakap semasa tawaf. Memakai kain ihram dan sehelai lagi ambil bahagian tengah di bawah ketiak sebalik kanan, hujung kain disebelah kiri dihimpun ke atas bahu sebelah kiri, dan punca kain di sebelah kanan diletakkan di bahu kiri juga.
  12. Ketiga dengan ucapan talbiyah, kecuali apabila hendak memulakan ibadah tawaf. Sebagai ganti tidak ucap talbiyah ialah menggantikannya dengan doa-doa daripada Nabi Muhammad s.a.w.
  13. Jika tidak hafaz doa-doa tersebut maka bacalah apa juga ayat al-Quran, atau tasbih dan selawat atas Nabi s.a.w. dan zikrullah. Tanda hati dan fikiran tidak lalai sebaliknya ingat kepada Allah SWT.
  14. Keempat, setelah sempurna memakai ihram apabila hendak memulakan tawaf, sayogia diingat hendaklah berdiri (di belakang sedikit) dari garis permulaan iaitu bersetentangan penjuru Kaabah yang terdapat Hajar Aswad.
  15. Kelima, tidak sayogia bahu kiri terlalu rapat dengan Kaabah, jika boleh (berpeluang) sekira-kira tiga langkah dari Kaabah. Supaya tubuh seseorang tidak terlalu jauh dengan Baitullah, kerana inilah yang afdal.
  16. Keenam, apabila hendak melangkah kaki memulakan tawaf hendaklah ucap: "Bismillah wallahu Akbar. Allahumma Imanan bika wa tashdiqan bikitabika wa watsaan bi'ahdika waittiba'an lisunnati Nabiyyika Muhammadin shallahu 'alaihi wa sallam" yang bermaksud: "Dengan nama Allah Yang Maha Besar. Hai Tuhanku laksanakan ibadah ini kerana beriman dengan-Mu, dan kerana membenarkan Kitab-Mu (al-Quran), aku datang kerana setia kepada janjiku untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w." kemudian laksanakan tawaf.
  17. Sesungguhnya tawaf itu tujuh pusingan, tiga pusingan awal dikehendaki supaya berkeadaan 'raml' (berjalan cepat dengan langkah pendek), empat pusingan selebihnya dalam keadaan berjalan biasa.
  18. Tujuan besar bertawaf dalam bentuk 'raml' dan memakai ihram dengan mendedahkan kepala bahu kanan, ialah hendak tunjuk gagah dan lincah kepada golongan kuffar Makkah. Supaya orang Islam dari Madinah yang memasuki kota Makkah dipimpin oleh Rasulullah s.a.w., tidak dianggap lemah tidak bermaya. Dalam beribadah kepada Allah SWT, Islam juga mengajar supaya ada unsur-unsur kempen dan propaganda. Agar tidak dipandang lekeh oleh musuhnya bahkan menggerunkan mereka.


Mauidzah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
FIKRAH • 21 - 23 SYAABAN 1432 / 22 - 24 JULAI 2011

No comments: