Friday, December 30, 2016

KESILAPAN YANG SERING DILAKUKAN PADA HARI JUMAAT

*KESILAPAN SOLAT JUMAAT*
YANG RAMAI LELAKI TIDAK SEDAR

Jumaat merupakan hari yang paling mulia dalam Islam. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita betul-betul ambil kesempatan dalam beribadah agar dapat menjadi hamba yang mulia disisi-Nya. Bagi mendapatkan ganjaran sepenuhnya, elakkan melakukan 8 perkara di bawah:
  1. Datang lewat ke masjid. Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756)

  2. Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Kata Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Shahih, Abu Dawud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr)

  3. Tidak memenuhkan saf hadapan. Kata Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Shahih, Muslim:439)

  4. Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Shahih, Muslim:857)

  5. Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba ketika imam berkhutbah. Kata Nabi SAW: ” Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Shahih, Muslim:875)

  6. Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

  7. Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Shahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

  8. Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509)
Semuga sedikit perkongsian ini dapat memberi ilmu yang bermanafaat kepada kita untuk mendapat santapan minda setiap hari Jumaat melalui khutbah yang dibaca oleh khatib. Jom azam sama-sama tutup telefon dan jangan layan internet, wassap, facebook dan instagram ketika khutbah kerana talian ALLAH lebih penting dari segala-gala urusan dunia.

Kesilapan ketika solat Jumaat di atas telah disemak betul oleh Ustaz Noehas semuga menjadi mengajaran untuk kita semua insan lemah.

Sumber rujukan: denaihati.com dan shafiqolbu.wordpress.com.

No comments: