Tuesday, January 31, 2017

GARIS PANDUAN SOLAT DALAM KEADAAN DUDUK

    Garis Panduan Solat Dalam Keadaan Duduk Seperti Berikut:
    Solat adalah ibadah asas dalam Islam dan dipertanggungjawabkan kepada setiap mukallaf dalam apa jua keadaan termasuk ketika sakit. Cara perlaksanaannya ketika sakit hendaklah dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.
    Hadis Rasulullah s.a.w:
صل قا ئما فإن لم تستطع فقاعدا فإن لم تستطع فعلى جنب
    Maksudnya: Solatlah secara berdiri, jika kamu tidak mampu lakukanlah secara duduk, dan jika kamu tidak mampu juga, maka lakukan secara mengiring.
    H.R al-Bukhari : 1066.
    Berdiri dalam solat fardhu merupakan rukun solat. Walau bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak boleh berdiri dibolehkan solat dalam keadaan duduk. Duduk bersila adalah lebih utama. Walau bagaimanapun boleh sahaja solat duduk dalam bentuk-bentuk yang lain. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA, dia berkata:
رايت النبي صلى الله عليه وسلم يصلي متربعا
    Maksudnya: Saya pernah melihat Nabi s.a.w solat dengan duduk bersila.
    (Hadis riwayat imam al-Nasa’i dalam Sunannya, kitab Qiyam al-Lail wa Thathauwu’ al-Nahaar, bab كيف صلاة القاعد no:1661).
    Kebelakangan ini muncul persoalan berkenaan solat secara duduk di atas kerusi bagi mereka yang uzur. Hal ini amat perlu ditangani dengan baik untuk memelihara kesempurnaan ibadah yang menjadi tiang agama.
    A. Kedudukan kerusi adalah seperti berikut:
    1. Kedudukan bagi ma’mum yang menggunakan kerusi hendaklah di bahagian paling kiri atau kanan saf solat.
    2. Jika keuzurannya adalah untuk duduk di atas lantai, atau ruku’ atau sujud namun masih mampu berdiri, maka hendaklah berdiri selari dengan orang bersebelahannya dalam saf solat.
    3. Jika keuzurannya adalah untuk berdiri dan terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk, maka kaki kerusi belakang hendaklah sama dengan kaki orang yang berdiri.
    4. Kelurusan saf bagi orang yang terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk dikira ketika jemaah lain dalam keadaan duduk.
    B. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh orang yang mengerjakan solat dalam keadaan menggunakan rukhsah seperti berikut:
    1. Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.
    2. Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.
    3. Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.
    4. Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.
    5. Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.
    6. Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat tunduk untuk ruku’.
    7. Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.
    8. Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.
    9. Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada.
    10. Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.
    11. Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

    Assalamualaikum, semua rakan2 fb... Ingin berkongsi penjelasan penuh tatacara bersolat dgn menggunakan kerusi utk menampung keuzuran yg menghalang dari berdiri dgn sempurna ketika bersolat....
    Diharap para ustaz dan penceramah yg mempersendakan dan mempermainkan mereka yg menggunakan kerusi ketika bersolat janganlah keterlaluan hingga mempersenda mengatakan inilah MAZHAB KERUSI.... Astaghfirullah hal 'Azim....

No comments: