Friday, December 14, 2018

KEMATIAN, MENGAPA DITANGISI

Khutbah Jumaat: 6 RabiulAkhir 1440 H

Khatib: Ustaz Shukri Harun

 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,  
 Firman Allah dalam Surah An-Nisa'-Ayat 78:  
 
 
 "Di mana jua akamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah" dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: "Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu." Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah." Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?"  
Kita semua akan mati. Kita akan dibawa mengadap Allah swt untuk disoal siasat segala apa yang kita telah kerjakan sewaktu hidup di dunia. Tiada satu perkara pun yg dapat dielak atau disembunyikan samada kebaikan atau kejahatan. Semuanya akan terdedah dan didedah. Adakah kita telah bersedia untuk semua itu. Selamat memikirkan masa depan kita!!
Mari kita hayati kisah ini agar menjadi iktibar, pengajaran, persediaan sebelum kita dimatikan.
Pada suatu masa dahulu terdapat seorang 'abid tinggal di Basrah.
Di saat dia menghampiri kematian, semua ahli keluarganya bersimpoh dan menangis di sisinya. Dia meminta mereka mendudukkannya. Setelah dia duduk, dia mengadap mereka satu persatu.
Dia mengadap ayahnya sambil bertanya, kenapa ayah menangis? Ayahnya menjawab: "Wahai anakku, aku menangis kerana aku teringat selepas ini aku berpisah denganmu dan aku akan keseorangan tanpamu".
Dia mengadap ibunya dan bertanya, kenapa ibu menangis? Ibunya menjawab: "Aku menangis kerana pahitnya menanggung kehilanganmu, anakku". 
Dia berpaling kepada isterinya dan bertanya, kenapa engkau menangis wahai isteriku? Isterinya menjawab: "Aku menangis kerana aku akan kehilangan kebaikanmu dan aku terpaksa berhajat kepada orang lain". 
Dia berpaling kepada anak-anaknya dan bertanya mereka, kenapa kamu menangis wahai anak-anakku? Anak-anaknya menjawab: "Kami menangis kerana akan jadi anak yatim yang hina dan melarat selepas ketiadaan ayah" 
Ketika itu dia merenung mereka seorang demi seorang. Dan diapun menangis. Mereka bertanya, kenapa pula engkau menangis? Dia menjawab: "Aku menangis kerana aku mendapati setiap orang daripada kamu menangis untuk dirinya, bukan untuk diriku"
  • Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana mengenangkan panjangnya perjalananku nanti?
  • Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana sedikitnya bekalanku? 
  • Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berbaring di atas pasir (di dalam kubur) kegelapan keseorangan?
  • Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdepan dengan perhitungan yang sengit? 
  • Tidak adakah di kalangan kamu yang menangis kerana aku akan berdiri di hadapan Tuhan segala tuhan-tuhan?
Meratapi orang yang sudah meninggal memberi kesan yang tidak baik ianya menyiksa diri sendiri baik di akhirat maupun di dunia, baik untuk orang yang meratapi maupun orang yang diratapi, sebab itu hendaknya dihindari.
Bermuhasabah tentang amalan kita seharian, Saidina Umar RA pernah mengucapkan kata-katanya yang sangat terkenal: “Haasibu anfusakum qabla antuhasabu” (Hisablah dirimu sebelum kelak engkau dihisab).

Khutbah Kedua:
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu wa-Taala,
Allah perintah kita solat, puasa, sedekah, tetapi Allah tidak melakukannya walau bagaimana pun bila Allah perintah kita selawat pada Rasullulah SAW maka Allah dan para malakait terlebih dahulu berselawat, Firman Allah swt:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan". [Al-Ahzab: 56]

No comments: