Saturday, June 16, 2012

Kaedah solat imam dan makmum

  1. APABILA makmum tiba untuk solat jemaah ketika imam sedang rukuk, makmum hendaklah angkat takbiratul ihram dalam keadaan tegak berdiri.
  2. Kecuali makmum sempat bersama imam dalam rukuk, ketika itu makmum perlu sekali lagi mengangkat takbir intiqalat. Kerana turun makmum kepada rukuk merupakan pergerakan yang dikira mendapat rakaat. 
  3. Berlainan dengan makmum yang hanya turun untuk sujud bersama imam, makmum memang tidak mendapat rakaat. Justeru, tidak disyaratkan untuk ucap takbir intiqalat. 
  4. Makmum dikira tidak mendapat rakaat, selagi tidak mendapat tomakninah dalam rukuk bersekali dengan imam yang rukuk. 
  5. Apabila makmum datang ketika imam sedang sujud, dia tidak seharusnya menunggu imam bangun untuk mendapat rakaat.
  6. Sesungguhnya solat itu bukan semata-mata untuk dapat rakaat, ia adalah sumber pahala berjemaah dengan tidak mengira ketika bagaimana makmum masuk berjemaah. 
  7. Diriwayatkan bahawa terdapat manusia pada akhirat kelak timbangan pahala amalnya sama berat antara dosa dan pahala. 
  8. Rupa-rupanya terdapat pahala yang terhasil daripada amal orang itu, ialah datang ketika sujud bersama imam untuk berjemaah. Sedangkan mereka sedar perbuatannya itu tidak memperolehi rakaat.
  9. Tetapi oleh kerana dia terlalu kasih dan sayang kepada Allah SWT, lalu dia sujud bersama imam untuk mendapat fadilat sujud. Ini kerana dia yakin bahawa sujud adalah antara amal yang disukai Allah SWT. 
  10. Alangkah bahagianya apabila malaikat mendapati amal tersebut dapat memberatkan timbangan amal, menyebabkan pahala amal salihnya mengatasi amalnya yang tidak baik. 
  11. Sesiapa yang terluput waktu Zuhur, mereka sedar hanya sesudah masuk waktu Asar. Ketika itu dia wajib mendirikan solat Zuhur dahulu, diikuti dengan tunaikan solat Asar pula. 
  12. Apabila masuk waktu Asar, dia mendapati solat iemaah sedang didirikan. Dia mesti mengutamakan solat jemaah Asar yang didirikan secara tunai, kemudian diikuti dengan solat Zuhur. 
  13. Ini kerana solat jemaah yang dilakukan secara tunai itu lebih aula daripada solat secara sendirian qada Zuhur. 
  14. Sekiranya seseorang selepas solat lalu terlihat pakaiannya terkena najis, sebaiknya dia qada solatnya. Namun, tidak wajib baginya berbuat demikian. 
  15. Seandainya seseorang yakin bahawa najis yang lekat pada pakaian sudah lama, mungkin terkena sebelum solat kerana keadaan najis yang sudah kering, maka wajib dia qada solatnya.
  16. Yang menjadi persoalan najis atau darah yang melekat itu sudah kering, tidak pasti sama ada terkena najis sebelum solat atau sesudahnya. 
  17. Semua kemungkinan tetap ada kerana masa yang dilalui memang lama, ketika itu sebaiknya lakukan qada walaupun tidak wajib. 
  18. Seandainya terlihat najis pada pakaian ketika solat, jika boleh tanggalkan dan tidak mendedahkan aurat. Penyelesaiannya lemparkan saja pakaian bernajis itu, terus selesaikan solat dengan sempurna. 
  19. Keadaan seumpama itu berlaku ke atas diri Nabi s.a.w. yang didatangi malaikat Jibril, memberitahu kasut yang dipakai oleh baginda terkena najis. Nabi s.a.w. segera menanggalnya dan meneruskan solatnya. 
  20. Terdapat segolongan manusia yang terlalu cermat, apabila hendak melakukan solat dikeluarkannya segala benda yang terdapat dalam kocek baju atau kocek seluarnya. 
  21. Perbuatan yang kononnya hendak bercermat itu boleh dikira melampaui kewajaran dalam beragama, sedangkan perkara tersebut tidak dituntut oleh Islam. 
  22. Sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: "Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar." (Surah an-Nisa ayat 171) 
  23. Ayat tersebut meskipun ditujukan kepada ahli kitab, tetapi tujuannya ialah mengingatkan manusia agar jangan melampau dalam beragama. 
  24. Mengeluarkan sesuatu atau menanggalnya kerana syak wasangka terhadap kemungkinan adanya najis pada benda-benda itu, suatu sikap yang tidak berasas kepada ilmu yang hak. 
  25. Perbuatan terlalu bercermat yang tidak disuruh oleh agama, akibatnya akan menyusahkan diri sendiri dan mengganggu orang lain. 
  26. Dihuraikan dalam kitab kitab fiqh seperkara boleh dimaalkan, iaitu najis yang sukar diatasi lantaran bersifat bala umum (umum balwa). 
  27. Misalnya binatang cicak yang melepaskan najis merata-rata, hingga dalam kolah untuk berwuduk dipenuhi najis cicak yang tidak mungkin dapat sentiasa dibersihkan. 
  28. Seperkara lagi mengenai orang yang tertinggal tahiyyat yang pertama, ataupun syak tentang rakaat sama ada dia berada di rakaat kedua, ketiga atau keempat, hukumnya ialah ambil yang yakin. 
  29. Misalnya antara satu rakaat atau dua, semestinya satulah yang yakin. Antara dua rakaat atau tiga, semestinya dua yang diyakini, ambillah keputusan ke atas yang diyakini.
  30. Sebelum salam dia dikehendaki melakukan dua kali sujud sahwi. Sekiranya sujud sahwi pun terlupa juga, boleh sujud sahwi sesudah saIam sekiranya masih baru terjadi. 
  31. Masalah was-was ketika takbiratul ihram, menurut Imam Al-Ghazali punca was-was ketika niat hanya dua perkara sahaja. Jika tidak mindanya orang itu tidak waras maka kejahilan menjadi penyebabnya.
MAUIDZAH TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
HARAKAH 21 - 24 REJAB 1433 / 11 - 14 JUN 2012


No comments: